Pesan buat diri.....

Saturday, August 22, 2009

ADAB BERPUASA

ADAB BERPUASA

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya.

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia.

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga” (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah SAW “Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah SWT kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat.

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi SAW berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: “ Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur “ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda SAW “sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir, bacaan Quran, solat sunat dan sebagainya.

EDARAN : PASTI AL MAWADDAH

Thursday, August 20, 2009

RENUNGAN DI AMBANG RAMADHAN

RENUNGAN DI AMBANG RAMADHAN

Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman RA katanya:

Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Sya'ban. Baginda bersabda:


" Wahai manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya suatu tatawwu'(sunat) . Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan maka samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah memberi rezeki kepada para mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dia dari Neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa dikurangkan sedikitpun "

Para Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orang yang berpuasa?"

Maka bersabda Nabi SAW: "Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka. Barangsiapa meringankan beban daripada hamba sahaya (pembantu-pembantu rumah), nescaya Allah akan mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada api neraka. Oleh itu perbanyakkanlah empat perkara di dalam bulan Ramadhan. Dua perkara untuk menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya. Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan Allah ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan memohon keampunan kepadaNya. Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya ialah memohon syurga dan berlindung daripada neraka. Barangsiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam itu dengan suatu minuman yang dia tiada merasakan dahaga lagi sesudahnya, sehingga dia masuk kedalam syurga "


(At-Targhib, jld.II, 217-218)

EDARAN : PASTI AL MAWADDAH – 1 RAMADHAN 1430


Tuesday, August 18, 2009

Ramadhan yang kutunggu...


Maha suci ALLAH..
yang menjadikan Ramadhan...
di dalamnya terisi jutaan keagungan asmaMu..

Ramadhan datang lagi...
tiada mungkir sebelum tiba hari ditiup sangkala...
membawa jutaan rahmat pada yang taat...
dijanjikan ribuan keampunan bagi yang bertaubat..
padanya dibukakan pintu - pintu syurga...
padanya juga dikunci pintu - pintu neraka...
dibelenggu akan syaitonirrajim...

Ramadhan kali ini...
sekali lagi ku tanamkan azam di hati...
bagi meraih ganjaran sebanyak mungkin..
agar dapat kurangkul ganjaran ibadah seribu bulan...

padaMu YA ALLAH aku memohon..
Di Ramadhan yang mendatang ini...
penuhilah hati ini dengan keimanan dan keikhlasan..
agar terampun segala dosa - dosa yang telah lalu..
cucurilah rahmatMu pada hamba yang hina ini...
agar dapat ku tempuhi Ramadhan ini sebagai orang tidak kerugian...
Amin...Ya Rabb...



Ikut kalu betul, tinggal kalu salah...