Pesan buat diri.....

Monday, October 19, 2009

Rahsia itu Amanah...

Wasiat Abbas kepada anaknya Abdullah mengenai rahsia.

Sabda Rasulallah s.a.w. yang bermaksud: "Apabila datang seseorang bercakap sesuatu perkara, setelah orang itu beredar maka perkara yang dicakapkan itu menjadi amanah."
Amanah ittu bererti wajib dijaga dengan sempurna. Hanya perkara yang baik saja boleh diceritakan kepada pihak lain, supaya perkara yang makruf itu kian tersebar serta menaikkan nama baiknya di pandangan masyarakat.
Sementara perkara yang buruk wajib ditutup dan melindungi daripada diketahui umum sebagai amanah. Dengan cara begitu keaibannya tidak diketahui umum dan keburukan tersekat daripada merebak.

Adapun orang yang duduk semajlis dengan kita adalah amanah, semestinya banyak perkara dan hal ehwal peribadinya yang diketahui mengenai kawan semajlis itu.
Justeru mengenai perkara buruk itu mesti dijaga sepenuhnya, melindungi ehwal kawan semajlis hendaklah berlaku secara timbal balik antara mereka.

Seseorang ditanya; bagaimanakah menjaga rahsia seseorang, sedangkan tidak pernah didengar cerita buruk terbit dari lisannya? Orang itu menjawab: "Sesungguhnya dadaku adalah kubur bagi rahsia seseorang."
Sebagaimana kubur tidak pernah memuntahkan mayat yang bersemadi di dalamnya, begitu juga apabila seseorang bercakap pelbagai perkara kepadanya.
Hakikatnya dia datang hendak semadikan rahsia diri terkubur rapi di dadanya. Rahsianya mohon dilindungi.
Kerana dia yakin bahawa sahabatnya adalah bilik kebal yang selamat bagi menyimpan rahsianya, sesungguhnya dada bagi orang baik-baik itu adalah kubur yang selamat bagi segala rahsia.
Untuk mengenal pasti baik buruknya seseorang itu, ialah sama ada rahsia kawannya tersimpan rapi atau terbongkar bersepah merata melalui lisannya.

Berkata Saiyidina Abbas kepada Abdullah anaknya: "Sesungguhnya telah kuperhatikan bahawa Saiyidina Umar dalam majlis besar apabila hendakminta pendapat, seringkali dia mendapatkan kamu lebih dahulu. Oleh itu aku hendak berpesan lima perkara kepadamu:
Pertama, jangan buka rahsia ketua (Umar);
kedua, apabila berada di majlisnya jangan sekali kali bercerita tentang keburukan orang lain.
Ketiga, jangan diketahuinya yang engkau pernah berdusta walaupun kepada orang lain.
Keempat, jangan sekali-kali derhaka pada perintahnya.
Kelima, jangan sampai dia tahu yang kamu khianat."


Seorang alim besar bernama Sya'bi ketika mengulas nasihat Abbas kepada Abdullah itu, bahawa setiap perkara yang dipesan oleh Abbas layak dibayar seribu dinar, kerana inilah pesanan yang boleh menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

sumber: mauidzah TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT @harakah #1478

Ikut kalu betul, tinggal kalu salah...